Sunday, June 7, 2009

PENGENALAN TENTANG KUALA KANGSAR

Kuala Kangsar terletak di negeri Perak, Malaysia dan merupakan salah sebuah bandar-bandar diraja di Malaysia selain daripada Arau di Perlis, Pekan di Pahang, Shah Alam di Selangor, Kuala Pilah di Negeri Semblian, Johor Bahru di Johor, Kuala Terengganu di Terengganu, Kota Bharu di Kelantan dan Anak Bukit di Kedah. Daerah ini berkeluasan tanah sebesar 204.94km per segi dan mempunyai populasi sebanyak 39300 dengan kepadatan penduduk sebanyak 752 penduduk per segi(sumber dari tahun 2000). Daerah ini dibahagikan kepada 9 buah mukim iaitu mukim Sungai Siput, mukim Kota Lama Kanan, mukim Kota Lama Kiri, mukim Pulau Kamiri, mukim Cecah Galah, mukim Senggang, mukim Lubuk Merbau, mukim Kampung Buaya dan mukim Sayong. Kuala Kangsar telah diumumkan secara rasmi sebagai sebuah bandar raya pada tahun 0000.

Secara geografikal, bandar ini terletak di hulu Sungai Perak dan dikelilingi oleh banjaran Bintang di sebelah utara manakala banjaran Keledang di sebelah selatan. Bandar Kuala Kangsar sering diancam air bah besar apabila hujan lebat sehingganya Empangan Chenderoh didirikan untuk menyelesaikan masalah ini.

Daerah ini penuh dengan pelbagai tarikan dari segi alam semula jadi, kesenian, dan budaya yang membentuk identitinya yang unik sebagai sebuah Bandar Diraja Negeri Perak. Antata daya tarikan yang paling popular di daerah ini adalah Istana Iskandariah yang merupakan istana yang terbesar di Malaysia. Semua ini akan didedahkan dan dihuraikan kepada para pengunjung laman web ini secara komprehensif di artikel yang seterusnya.
Nikmatilah masa anda sebaik-baiknya!!!!


SEJARAH BANDAR DIRAJA KUALA KANGSAR

Negeri Perak lahir dari aliran air yang menebing di Sungai Perak daripada puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di Selatan Melaka. Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan keistimewaan sungai ini lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat. Mereka adalah peneroka yang datang membuka tempat baru dan berinteraksi dengan pribumi hingga menjadi orang Perak seperti yang ada sekarang. Mereka memudik dengan sampan hingga sampai ke suatu anak sungai di tebing kiri Sungai Perak. Dalam kiraan mereka kuala sungai ini adalah bersempena, lebih-lebih lagi tebingnya rendah, tanahnya subur dan pemandangannya sungguh indah. Kebetulan mengikut kiraan mereka kuala sungai ini ialah yang ke seratus kurang satu, atau 'Kuala Kurang Sa'. Kononnya itulah nama asalnya, KUALA KURANG SA dan kemudiannya disebut Kuala Kangsar sahaja..Walaubagaimanapun, Kuala Kangsar sebenarnya adalah satu lokasi yang sangat baik, bukan sahaja sesuai sebagai tempat mendarat, tetapi memang baik untuk penempatan, untuk bercucuk tanam, untuk pusat perniagaan. Di daratnya seseorang boleh meneruskan perjalanan menyusur sungai hingga ternampak Gunung Pondok, iaitu satu mercu tanda yang memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari Larut. Pokok getah yang pertama ditanam di Malaysia yang kini berusia lebih 100 tahun masih hidup subur di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar. Saiznya tiga atau empat pemeluk. Berdasarkan keistimewaan ini kita membuat kesimpulan bahawa Kuala Kangsar dan kawasan di sekelilingnya adalah tempat tua, sudah berabad-abad lamanya didiami orang.

Saturday, June 6, 2009

LOKASI-LOKASI MENARIK DI KUALA KANGSAR

MASJID UBUDIAH


Masjid yang terindah di Negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda.
Kerajaan Negeri Perak kemudian mengarah Colonel Huxley dari Pejabat Kerja Raya di Kuala Lumpur supaya merangka sebuah pelan masjid yang hendak didirikan itu. Tugas membuat pelan rekabentuknya telah diberikan kepada Hubbeclk, seorang arkitek kerajaan dan tugas melaksanakan bangunan itu pula diserahkan kepada Caufield sebagai ketua jurutera Negeri Perak ketika itu.Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Pembinaan masjid tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul-ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan.
Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916. Belanja pembinaan masjid Ubudiah ketika itu di anggarkan berjumlah RM200,000.00






MENARA PAVILION



Bangunan ini terletak di Jalan Bendahara, Bandar Di Raja Kuala Kangsar. Bangunan ini didirikan pada tahun 1920, iaitu semasa pemerintahan Sultan Iskandar Shah yang memerintah Perak dari tahun 1918-1938. Arkiteknya ialah N.E.Don B.C.D. Bangunan ini digunakan sebagai tempat istirehat oleh Sultan Iskandar selepas bermain polo.
Pada masa sekarang, menara Pavilion ini tidak lagi digunakan , namun ianya telah dijadikan salah satu tempat tarikan pelancong yang berkunjung ke Bandar Di Raja Kuala Kangsar.





JAMBATAN VICTORIA




Jambatan keretapi ini disebut juga Jambatan Enggor kerana letaknya di Enggor, Kuala Kangsar. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada tahun 1897 dan siap serta dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900. Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini ialah G.W Fryer, Divisional Engineer dan C.RHanson.



Dengan siapnya jambatan ini, maka lengkaplah perjalanan keretapi dari Enggor ke Kuala Kangsar. Dalam tahun 1910, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya untuk laluan keretapi dari Perai ke Johor Bahru.




ISTANA KENANGAN




Istana ini pada keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas. Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah. Istana yang berdinding kelarai berbumbung perabut lima dan perabut pisang sesikat ini telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun 1926.
Tukang yang membuat istana ialah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Perai. Istana ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1931. Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negera, iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).Dalam tahun 1933, apabila Istana Iskandariah siap dibina,Sultan Iskandar Shah telah berpindah ke istana tersebut. Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki pula oleh keluarga Diraja Perak. Nama Istana Kenangan hanya bermula pada tahun 1960 an, iaitu selepas istana tersebut diperbaiki semula dengan usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj, bekas Perdana Menteri Malaysia.
Pada 16 November 1986, setelah dipelihara, Istana Kenangan dengan rasminya dijadikan Muzium Di Raja Perak hingga ke hari ini.




POKOK GETAH TERTUA DI MALAYSIA


Terletak berhampiran dengan Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan satu-satunya pokok getah pertama yang hidup daripada sembilan pokok getah asal yang ditanam.
H.N.Ridley adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Kuala Kangsar sebagai daerah industri getah yang pertama dan akhirnya menjadi sumber pendapatan penting Malaysia.

MCKK


MCKK merupakan sebuah sekolah berasrama penuh premier lelaki sahaja di Malaysia. Sekolah ini terletak di Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak. Moto sekolah, Fiat Sapientia Virtus adalah didalam Bahasa Latin, yang bermaksud Kebijaksanaan Mutu Manusia.

MCKK ditubuhkan pada 1905 oleh pihak British atas cadangan daripada R.J. Wilkinson, pegawai pendidikan jajahan pada masa itu. Cadangan itu disokong sepenuhnya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (1886—1916).

Pada awalnya, penubuhan sekolah ini ialah untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat diRaja. Anak lelaki kelahiran kebanyakan sukar untuk mendapat tempat di sekolah ini. Selepas kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada sekitar tahun 1947, syarat kemasukan ke sekolah ini dilonggarkan dan semakin ramai anak-anak orang kebanyakan dapat peluang untuk menuntut di sini. Kini anak Melayu terpilih berpeluang mengikuti pembelajaran peringkat menengah di sekolah ini.

Seorang graduan Universiti Oxford yang berasal dari Ireland, William Hargreaves mendapat penghormatan untuk menjadi pengetua pertama sekolah ini dan sekolah ini ditadbir oleh pengetua dari Britain sehingga tahun 1965, di mana Abdul Aziz Ismail, seorang rakyat berbangsa Melayu diambil sebagai pengetua sempena ulangtahun ke-60, dan sehingga kini rakyat lelaki berbangsa Melayu memegang jawatan tersebut.


Bangunan Overfloor (dibina pada 1909) adalah binaan yang menjadi identiti sekolah ini, bercirikan senibina Greco-Roman, berhadapan padang ragbi, merupakan asrama bagi pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 (dan juga tingkatan 3 dan 6 pada satu masa) dan dewan makan. Bangunan Prep School (dibina pada 1912) yang menempatkan pelajar tingkatan 1, terletak di selatan kampus, adalah lebih kecil daripada bangunan Overfloor, mengekalkan senibina Greco-Roman, tetapi dengan ciri-ciri yang berbeza.

Pada tahun 1955, bangunan West Wing dan East Wing ditambah kepada Overfloor untuk menempatkan lebih ramai pelajar. Tiga bangunan ini kini dikenali sebagai Asrama Besar (Big School). Pada tahun yang sama, Blok Pentadbiran dan Menara Jam juga ditambah untuk memenuhi keperluan semasa. Seterusnya pada tahun 1963 asrama tambahan , Pavilion dan pada tahun 1972, Asrama Baru (New Hostel) dibina.Pavilion dibina untuk menempatkan pelajar tingkatan 3 manakala Asrama Baru dibina untuk menempatkan pelajar tingkatan 2.

Satu lagi mercu tanda utama sekolah ini ialah Big Tree, sebatang pokok hutan hijau yang terletak di sebelah timur Overfloor, yang berusia lebih tua daripada bangunan Overfloor sendiri.


Dipetik daripada : http://ms.wikipedia.org/wiki/MCKK

Friday, June 5, 2009

PRODUK DAERAH KUALA KANGSAR

KILANG MARIWASA


Beberapa produk yang dihasilkan oleh Kilang Mariwasa termasuk pingat kebesaran sultan

LABU SAYONG

Labu Sayong amat terkenal di Kuala Kangsar. Labu sayong itu sendiri mendapat nama dari sebuah mukim di Kuala Kangsar iaitu Mukim Sayong. Mengikut sejarah, labu sayong wujud dari sebiji buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas mengisi air. Keindahan bentuk labu sayong ini bermula dengan pemilihan tanah liat di tebing-tebing sungai.

Tanah yang dipilih akan dijemur sebelum dibentuk dengan tangan menggunakan sudip buluh. Kemudiannya barulah ia digilap dengan batu luru bagi proses melicinkan labu tersebut sebelum labu sayong diasapkan.

Bentuk labu sayong yang dihasilkan adalah berdasarkan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan calaran geometri.


KOMPANG


Kompang ialah sejenis alat muzik Melayu yang terkenal dan sering digunakan untuk majlis perarakan sesebuah perkahwinan, perarakan tetamu terhormat serta majlis Marhaban. Biasanya, bingkai kompang atau baloh berbingkai dibuat dari kayu jenis keras seperti kayu Nangka manakala bunyi dari kompang dihasilkan dari belulang kulit kambing.

Kayu yang telah dipilih akan di bentuk menjadi bulat dan akan dijemur sebelum disapu lilin bagi mengelakkan keretakan pada kompang.Belulang kulit kambing yang telah dibuang bulunya akan diproses dahulu dengan bahan seperti air kapur, abu, sodium sulfida dan ammonia.

Apabila kulit tersebut sudah cukup kering, barulah kulit tersebut akan dipasang pada baloh berbingkai menggunakan pelekat sebelum ditindih dengan paku supaya ketegangannya terjamin dan menghasilkan bunyi yang baik.

Kini, kompang merupakan alat yang menjadi tarikan di Kuala Kangsar dan selalu dimainkan dalam bentuk okestara atau berkumpulan.

KERIS/GOLOK


Keris merupakan senjata warisan Melayu yang telah pun digunakan sejak dahulu lagi. Selain menjadi senjata mempertahankan diri, ia juga menjadi lambang kebanggaan masyarakat Melayu. Penghasilan keris yang penuh dengan ketelitian ini menjadikan ia bertambah menarik. Ramai pelancong-pelancong yang berkunjung ke negara kita telah menjadikan keris sebagai cenderamata.

SENI TEKAT

Seni pembuatan tekat telah dilakukan sejak dahulu lagi. Tekat atau dikenali juga sebagai bersuji atau hiasan suji timbul adalah proses menjahit benang emas pada kain baldu yang telah diregangkan pada pemidang. Proses membuat tekat ini memerlukan kain baldu, pemidang, mempulur bercorak motif dan juga benang emas.

Mempulur yang juga dikenali sebagai ‘Init' ini biasanya menggunakan kertas kadboard. Ada juga sesetengah pembuat tekat yang menggunakan keratan rotan atau buluh bagi menebalkan jahitan motif pada kain baldu. Benang emas yang dijahit membaluti mempulur biasanya menggunakan jarum khas yang dipanggil ‘Cuban'.

Dahulunya, pembuatan tekat ini sering dikaitkan dengan persalinan di raja serta golongan istana . Seni tekat ini bermula pada kurun ke 15, semasa zaman pemerintahan Sultan Melayu Melaka. Kesannya dapat dilihat pada pakaian-pakaian masyarakat Baba dan Nyonya Melaka.

Sehingga kini, seni tekat masih lagi dihasillkan oleh rakyat negeri Perak terutamanya di Kuala Kangsar. Antara tokoh-tokoh tekat yang terkenal di sini adalah Puan Ahdijah bt. Hashim dan Puan Hajah Azizah bt. Mohd Yusof. Kepakaran yang diwarisi oleh mereka telah menjadikan mereka dilantik mewakili negara untuk mendemonstrasikan seni menekat.


(Dipetik dari http://pdtkualakangsar.perak.gov.my/index.php?bhg=ekonomi&isi=produk&id=1)