Friday, June 5, 2009

PRODUK DAERAH KUALA KANGSAR

KILANG MARIWASA


Beberapa produk yang dihasilkan oleh Kilang Mariwasa termasuk pingat kebesaran sultan

LABU SAYONG

Labu Sayong amat terkenal di Kuala Kangsar. Labu sayong itu sendiri mendapat nama dari sebuah mukim di Kuala Kangsar iaitu Mukim Sayong. Mengikut sejarah, labu sayong wujud dari sebiji buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas mengisi air. Keindahan bentuk labu sayong ini bermula dengan pemilihan tanah liat di tebing-tebing sungai.

Tanah yang dipilih akan dijemur sebelum dibentuk dengan tangan menggunakan sudip buluh. Kemudiannya barulah ia digilap dengan batu luru bagi proses melicinkan labu tersebut sebelum labu sayong diasapkan.

Bentuk labu sayong yang dihasilkan adalah berdasarkan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan calaran geometri.


KOMPANG


Kompang ialah sejenis alat muzik Melayu yang terkenal dan sering digunakan untuk majlis perarakan sesebuah perkahwinan, perarakan tetamu terhormat serta majlis Marhaban. Biasanya, bingkai kompang atau baloh berbingkai dibuat dari kayu jenis keras seperti kayu Nangka manakala bunyi dari kompang dihasilkan dari belulang kulit kambing.

Kayu yang telah dipilih akan di bentuk menjadi bulat dan akan dijemur sebelum disapu lilin bagi mengelakkan keretakan pada kompang.Belulang kulit kambing yang telah dibuang bulunya akan diproses dahulu dengan bahan seperti air kapur, abu, sodium sulfida dan ammonia.

Apabila kulit tersebut sudah cukup kering, barulah kulit tersebut akan dipasang pada baloh berbingkai menggunakan pelekat sebelum ditindih dengan paku supaya ketegangannya terjamin dan menghasilkan bunyi yang baik.

Kini, kompang merupakan alat yang menjadi tarikan di Kuala Kangsar dan selalu dimainkan dalam bentuk okestara atau berkumpulan.

KERIS/GOLOK


Keris merupakan senjata warisan Melayu yang telah pun digunakan sejak dahulu lagi. Selain menjadi senjata mempertahankan diri, ia juga menjadi lambang kebanggaan masyarakat Melayu. Penghasilan keris yang penuh dengan ketelitian ini menjadikan ia bertambah menarik. Ramai pelancong-pelancong yang berkunjung ke negara kita telah menjadikan keris sebagai cenderamata.

SENI TEKAT

Seni pembuatan tekat telah dilakukan sejak dahulu lagi. Tekat atau dikenali juga sebagai bersuji atau hiasan suji timbul adalah proses menjahit benang emas pada kain baldu yang telah diregangkan pada pemidang. Proses membuat tekat ini memerlukan kain baldu, pemidang, mempulur bercorak motif dan juga benang emas.

Mempulur yang juga dikenali sebagai ‘Init' ini biasanya menggunakan kertas kadboard. Ada juga sesetengah pembuat tekat yang menggunakan keratan rotan atau buluh bagi menebalkan jahitan motif pada kain baldu. Benang emas yang dijahit membaluti mempulur biasanya menggunakan jarum khas yang dipanggil ‘Cuban'.

Dahulunya, pembuatan tekat ini sering dikaitkan dengan persalinan di raja serta golongan istana . Seni tekat ini bermula pada kurun ke 15, semasa zaman pemerintahan Sultan Melayu Melaka. Kesannya dapat dilihat pada pakaian-pakaian masyarakat Baba dan Nyonya Melaka.

Sehingga kini, seni tekat masih lagi dihasillkan oleh rakyat negeri Perak terutamanya di Kuala Kangsar. Antara tokoh-tokoh tekat yang terkenal di sini adalah Puan Ahdijah bt. Hashim dan Puan Hajah Azizah bt. Mohd Yusof. Kepakaran yang diwarisi oleh mereka telah menjadikan mereka dilantik mewakili negara untuk mendemonstrasikan seni menekat.


(Dipetik dari http://pdtkualakangsar.perak.gov.my/index.php?bhg=ekonomi&isi=produk&id=1)

1 comment:

  1. Salam...
    ada num contact untuk dapatkan kompang dari kuala kangsar?

    ReplyDelete