Saturday, June 6, 2009

LOKASI-LOKASI MENARIK DI KUALA KANGSAR

MASJID UBUDIAH


Masjid yang terindah di Negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda.
Kerajaan Negeri Perak kemudian mengarah Colonel Huxley dari Pejabat Kerja Raya di Kuala Lumpur supaya merangka sebuah pelan masjid yang hendak didirikan itu. Tugas membuat pelan rekabentuknya telah diberikan kepada Hubbeclk, seorang arkitek kerajaan dan tugas melaksanakan bangunan itu pula diserahkan kepada Caufield sebagai ketua jurutera Negeri Perak ketika itu.Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Pembinaan masjid tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul-ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan.
Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916. Belanja pembinaan masjid Ubudiah ketika itu di anggarkan berjumlah RM200,000.00






MENARA PAVILION



Bangunan ini terletak di Jalan Bendahara, Bandar Di Raja Kuala Kangsar. Bangunan ini didirikan pada tahun 1920, iaitu semasa pemerintahan Sultan Iskandar Shah yang memerintah Perak dari tahun 1918-1938. Arkiteknya ialah N.E.Don B.C.D. Bangunan ini digunakan sebagai tempat istirehat oleh Sultan Iskandar selepas bermain polo.
Pada masa sekarang, menara Pavilion ini tidak lagi digunakan , namun ianya telah dijadikan salah satu tempat tarikan pelancong yang berkunjung ke Bandar Di Raja Kuala Kangsar.





JAMBATAN VICTORIA




Jambatan keretapi ini disebut juga Jambatan Enggor kerana letaknya di Enggor, Kuala Kangsar. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada tahun 1897 dan siap serta dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900. Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini ialah G.W Fryer, Divisional Engineer dan C.RHanson.



Dengan siapnya jambatan ini, maka lengkaplah perjalanan keretapi dari Enggor ke Kuala Kangsar. Dalam tahun 1910, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya untuk laluan keretapi dari Perai ke Johor Bahru.




ISTANA KENANGAN




Istana ini pada keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas. Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah. Istana yang berdinding kelarai berbumbung perabut lima dan perabut pisang sesikat ini telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun 1926.
Tukang yang membuat istana ialah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Perai. Istana ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1931. Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negera, iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).Dalam tahun 1933, apabila Istana Iskandariah siap dibina,Sultan Iskandar Shah telah berpindah ke istana tersebut. Istana Lembah atau Istana Tepas diduduki pula oleh keluarga Diraja Perak. Nama Istana Kenangan hanya bermula pada tahun 1960 an, iaitu selepas istana tersebut diperbaiki semula dengan usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj, bekas Perdana Menteri Malaysia.
Pada 16 November 1986, setelah dipelihara, Istana Kenangan dengan rasminya dijadikan Muzium Di Raja Perak hingga ke hari ini.




POKOK GETAH TERTUA DI MALAYSIA


Terletak berhampiran dengan Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan satu-satunya pokok getah pertama yang hidup daripada sembilan pokok getah asal yang ditanam.
H.N.Ridley adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Kuala Kangsar sebagai daerah industri getah yang pertama dan akhirnya menjadi sumber pendapatan penting Malaysia.

No comments:

Post a Comment